Skip to main content

ULANG TAHUN PERTAMA - KISAH SUKA DAN DUKA

Hari ni 5 Februari 2008 bermakna genaplah setahun penubuhan syarikat Fatisha Agro Farm. Alhamdulillah syukur pada Allah yang masih menguatkan semangat saya... memberikan ketabahan kepada hati hati, jiwa saya dan juga segala-galanya... Mengajar saya tentang pahit maung dunia perniagaan ini yang saya ambil dulu tanpa memikirkan risiko yang akan saya tempuhi. Dulu saya hanya memandang positif dan itu yang makin menguatkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan ini. Dan Alhamdulillah, setelah setahun inilah saya dan FAF yang anda lihat hari ini.

Setahun saya jatuh bangun dalam dunia cendawan ni. Menangis, ketawa, suka dan duka. Saya pernah terduduk dan pernah terjatuh. Waktu itu betapa sukarnya saya untuk bangun. Kadang-kadang saya didatangi mimpi ngeri, saya takut untuk menempuh masa depan. Rasa seperti tidak mampu untuk bangun lagi. Saya banyak termenung melihat usaha saya lebur begitu sahaja. Beg-beg cendawan yang saya usahakan selama 3 bulan rosak sekelip mata. Sampaikan orang sekeliling banyak menegur dan nampak perubahan diri saya yang banyak termenung. Dan tanpa saya sangka tiba-tiba datang penolong yang tidak pernah saya duga. Tetapi... sikap tergopoh-gapah saya membawa padah... Saya hampir jadi mangsa. FAF mungkin hanya akan tinggal kenangan. Tergadai di tangan orang lain. Namun entah di mana datangnya kekuatan dan petunjuk. Saya belajar untuk bertegas. Belajar berfikir sebelum membuat keputusan. Dan syukur, FAF masih di sini dan masih bersama sama. Masih jadi milik kami adik-beradik.

Dunia cendawan ini banyak mengajar saya. Tentang bermacam-macam perkara. Kenal berbagai-bagai karenah orang. Bila saya menguruskannya seorang, pasti senang untuk orang lain mempengaruhi saya. Ada yang mahu menolong, ada yang mahu ambil kesempatan atas kekurangan diri saya dan ada juga yang ikhlas membantu saya dan FAF sendiri amnya. FAF bukan milik saya seorang, ia milik kakak saya Zarina Yusof dan juga ayah saya Yusof A. Rahman yang tak pernah jemu membantu saya bila tiba saat-saat sukar saya. Betullah kata orang, ke mana kita pergi, sejauh mana kita lari, keluarga juga tempat kita meminta. Tanpa mereka siapalah saya sekarang. Juga ribuan terima kasih pada teman-teman seperjuangan terutamanya dalam bidang cendawan ni atas galakan dan pertolongan kalian dalam saya membangunkan FAF. Dan saat saya jatuh dan ingin bangkit, Mybob dari Jutawantani yang jauh sekali berkaitan dengan cendawan iaitu yang terlibat dalam penternakan kambing juga yang banyak memberi semangat dan mengajar saya pelbagai teknik-teknik untuk membantu mengembangkan FAF. Terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau.

Perjalanan saya masih panjang. Target utama saya untuk mencapai pengeluaran cendawan 50kg sehari masih tidak tercapai lagi dengan farm yang masih kecil. Itu target saya dengan keluasan maksimum bangsal saya 20' x 40'. Tetapi saya lupa yang saya hanya ada satu bangsal sahaja. Sebab itu permulaan selalu kita akan tersilap kerana masih banyak aspek yang perlu kita kaji. Sekarang pengeluaran maksimum sekiranya farm saya penuh dengan beg-beg cendawan hanyalah lebih kurang 20 kg sahaja. Sedikit demi sedikit saya akan capai ke target itu. Usaha setiap orang berbeza dan saya akan lakukan apa yang termampu oleh saya. Masalah kawasan yang tidak berapa sesuai juga adalah faktor pengeluaran cendawan di farm saya tidak mencapai target. Untuk menambah pengeluaran cendawan, saya perlu menambah bangsal. Tetapi saya ada kekangan mengenai itu. Tanah saya terlalu sempit. Faktor menyewa juga jadi masalah kepada saya. Semoga suatu hari nanti akan ada penyelesaiannya. Yang pasti hanya dengan berpindah ke tempat baru.

Saya masih ada banyak projek yang sedang saya fikirkan. Untuk bergantung kepada cendawan sahaja, nampaknya saya tidak akan ke mana-mana. Sebab itu seorang usahawan itu haruslah kreatif. Kita jangan hanya nampak untuk menjadi seorang penanam cendawan sahaja, tapi jadilah lebih daripada itu. Kebetulan saya seorang yang suka menulis. Dan itulah hobi saya sejak dulu. Pernah saya memasang impian untuk menjadi seorang penulis novel, tapi bakat saya dalam dunia sastera ini kurang menyerlah kerana saya kekurangan idea dalam menulis menggunakan bahasa-bahasa yang puitis. Saya telah belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Dulu orang tanya saya, sambung master sebab nak jadi pensayarah ke? Saya jawab tidak. Ada sebab lain saya menyambung master. Bila ayah suruh saya jadi cikgu, saya juga tidak ingin jadi cikgu. Bila pensyarah saya sarankan pada saya memohon jawatan pensyarah di universiti, saya hanya bagitahu saya tidak minat untuk menjadi seorang pensyarah.

Namun kini, saya kini dipanggil cikgu oleh peserta kursus saya. Ilmu saya di dalam bidang cendawan membawa saya semula kepada bidang yang disarankan oleh ayah dan juga pensyarah saya dulu. Saya akui, saya boleh mengajar dalam bidang cendawan lebih baik dari saya mengajar kimia. Keyakinan saya memjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan cendawan adalah lebih tinggi dari saya menjawab soalan-soalan berkaitan kimia. Saya tahu mengenai kimia, tapi saya perlu membuat rujukan dahulu untuk mengingatkan saya kepada fakta-faktanya. Tetapi tentang cendawan, alhamdulillah ia kekal di ingatan saya sebab saya melakukan praktikal mengenainya setiap hari. Saya tidak mengatakan yang saya tahu sepenuhnya. Masih banyak lagi saya yang saya pelajari kerana ilmu Allah tentang cendawan atau apa sahaja amat luas. Setiap hari kita belajar, dan ilmu itu tidak pernah habis. Akan ada lagi yang masih perlu dipelajari. Seribu orang pengusaha cendawan yang kita jumpa, seribu satu juga ilmu yang berbeza-beza dapat kita kutip dari mereka.

Dan kebetulan, ilmu kimia juga ada dipraktikkan dalam penanaman cendawan. Ia menjadi kelebihan buat saya. Ilmu kimia saya dan pengalaman saya 7 tahun menjadi penuntut UKM menjadi bekalan bagi saya menempuh dunia ini. Tanpa semua ilmu-ilmu itupun pun, saya pasti tidak kenal komputer, tidak kenal dunia global ini. Dan insyaAllah segala yang pernah saya belajar tidak akan saya sia-siakan. Dan hasrat dan impian saya di masa depan (masih tidak tahu bila) untuk membuat penyelidikan dalam penanaman cendawan tiram kelabu bagi mendapatkan PhD dalam bidang ini masih kekal dalam fikiran saya. Semoga ia akan tercapai juga.

Penanaman cendawan kini semakin rancak. Terlalu ramai yang berminat untuk mengusahakannya. Anak-anak muda kini mahu pulang ke kampung bukan lagi mahu ke bandar seperti trend 80 an dulu. Kalau dulu, penduduk kampung memasang impian untuk menjadi warga kota. Kota itu lubuk emas. Tapi kini sebaliknya berlaku. Ia suatu perkembangan sihat yang meledak sejak moto "Pertanian Adalah Perniagaan" di lancarkan. Hanya satu yang amat saya harap-harapkan, perkembangan ini bukan hanya setakat di sini sahaja. Masih akan ada kesinambungannya. Bukan 'hangat-hangat tahi ayam' kata orang. Seperti kata seorang pembaca blog saya ini kepada saya dulu. Buat si dia, saya hanya nak cakap satu dua perkara sahaja. Don't Judge A Book By Its Cover n jangan terus membuat penilaian tanpa mengenal kesusahan, kesukaran dan kepayahan yang saya tempuh. Saya seorang wanita yang bergiat secara sepenuh masa dalam bidang ini. Saya usahakan dengan dua tangan dan dua kaki saya sendiri. Saya usahakan di Kajang, jauh dari tanah kelahiran saya. Saya di sini tanpa saudara dan menyewa di tanah orang. Jadi fikirlah sebelum berkata-kata.

Perancangan akan datang saya adalah lebih kepada mengkomersialkan cendawan itu sendiri. Mempelbagaikan produk dan memberi nilai tambah padanya. Dan insyaAllah dengan perancangan yang betul saya akan merealisasikan projek tersebut kerana sudah ada seorang sahabat yang berminat untuk mengusahakannya bersama-sama saya. Untuk melakukannya seorang, pasti agak sukar untuk saya capai. Itulah pentingnya jaringan atau networking. Untuk mengkomersial pun ia perlukan kerjasama pengusaha cendawan yang lain. Kalau setiap orang boleh hasilkan sekurang-kurangnya 10kg sehari, dengan 10 orang, kita dapat mengumpul 100 kg sehari. Bila sudah bercakap tentang komersial, itulah nilai yang perlu difikirkan. Jadi saya begitu mengharapkan yang kita sama-sama berganding bahu dan bersatu untuk kepentigan bersama.

Masih banyak lagi yang ingin saya coretkan. InsyaAllah saya akan sambung lagi di masa akan datang. Semoga dengan setahunnya penubuhan FAF, ia akan lebih mematangkan diri saya sendiri dalam menguruskan FAF ini. Masih terlalu banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya sedia menerima teguran tidak kira dari siapa. Yang buruk itu saya jadikan sempadan dan yang baik itu saya jadikan saya tauladan. Semoga semangat dan keyakinan saya makin bertambah, menjadi lebih kuat dan juga tabah.

Dan yang paling penting saya ingin menjadi contoh yang terbaik mewakili siswazah-siswazah yang ingin berkecimpung dalam bidang ini dan seterusnya di gelar seorang SISWAZAH TANI...

Sekian....

Comments

Anonymous said…
Tahniah diucapkan kepada FAF yang telahpun berusia setahun. Walaupun baru setahun jagong, pengalaman FAF selama itu terlalu banyak yang ditempuhi, pelbagai ragam dan masaalah antaranya dari segi manusia, pengeluaran, dan dunia perniagaan. Mungkin bagi kita diluar melihat tidak nampak kesukaran yang dilalui FAF dan mungkin juga dah lama tutup kedai jika ianya berlaku kepada kita.

Bagi saya, memang hajat ada nak buat cendawan, tapi belum kesampaian lagi. Dan juga lebih ramai lagi orang yang seperti saya dan mereka-mereka yang dah bungkus tikar tidak tahan dengan masaalah-masaalah dunia perniagaan. Dengan itu, saya salute dan kira FAF lebih berjaya dari kami semua. Kadang-kadang masyarakat kita ini tak nampak dan tak perihatin tentang itu, kalau nak menjatuhkan seseorang bagilah dia orang. Lain pula dengan masyarakat Cina, mereka tolong menolong antara mereka, kadang-kadang boleh berniaga bersebelahan dengan barangan yang sama. Kalau tidak ada stok, boleh pulak ambil kedai sebelah. Kalau kita Melayu, entah macam mana, mungkin kedai sebelah dah dibomohnya supaya lingkup. Jadi, kita kenalah bantu satu sama lain dan anggaplah jika dalam kumpulan kita, ada seorang yang berjaya, jangan iri hati dan terus bantunya. Mungkin satu hari, terbukak pula hatinya untuk bantu kita. Rezeki itu di tangan Tuhan, mungkin bukan tahun ini, insyalaah jika berusaha, mungkin tahun depan.

Dimana-mana pun ada dugaannya, bukan kata makan gaji itu senang je, kadang-kadang lain pula karenahnya misalnya dengan bos, dengan kawan sekerja, kerja yang tidak digemari dsn. Tapi mungkin taklah seberat yang FAF alami, habis-habis kalau tak tahan boleh cari kerja tempat lain. Ni kalau buat business sendiri, nak pegi mana?? Pelaburan belum pulang balik pun. Lebih-lebih pulak ada hutang pinjaman, mana tak termenung selalu.

Telah banyak saya pelajari dari teori dan pengalaman yang FAF coretkan melalui blog anda itu, setiapnya sekurang-kurangnya mengembirakan saya membacanya. Ilmu dan pengalaman yang dikongsikan bersama tidak dapat kami membalasnya selain Allah jua.

Dengan itu, sekali lagi saya ucapkan tahniah, cekalkan hati dan selamat maju jaya di tahun-tahun akan datang.


PS : e-Book dah pun keluar. Mungkin selepas ini boleh buat NOVEL atau E-NOVEL suka duka dan cabaran seorang usahawan cendawan. Boleh laku gak?


Dari peminat setia blog FAF,
Esamus
Anonymous said…
selamat hari ulang thn FAF!!! Semoga di berkati Tuhan selalu.AMIN...
jutaan trima ksh ats keikhlasan Cik dlm mngajar pserta2 kursus,mcurah spenuh ilmu kpd kami.kursus di tmpt lain pon, xdpt ilmu sbyk kursus cik.
alhmdulilh kursus d sini x mngecewakn sy.ada teori dan praktikal yg lgkap.peserta2 len jga sporting n happening!!msing2 bkongsi pndpt n cerita.tahniah! ni la jga matlmt cik FAF utk mempertingktkn nilai bangsa sndri.
hnya Allah jua dpt mbls.AMIIN..
Anonymous said…
ESAMUS...
terima kasih banyak2... novel tu mmg ada gak niat.. hehehe... insyaAllah akan dtg tu...

anony...
peserta kursus saya yg mana satu ni? terima kasih yer... semoga ilmu yang dipelajari dapat dipraktikkan...
wreizal said…
Tahniah buat FAF.Kejayaan anda,adalah kejayaan orang Melayu dalam dunia perniagaan.Ketabahan anda bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi oleh semua orang didalam arus kemodenan dizaman ini.Semoga FAF sentiasa sukses bersama anda dan selamanya..
syia said…
tahniah :)

syia baca khusyuk sekali blog post ni.. walaupun syia tak bergiat dalam bidang tanaman cendawan atau pun tanaman secara umum.. syia boleh relatekan dengan kehidupan syia buat biz online.. mule sebagai penulis belakang tabir blog posts lepastu buat freelance..jd import/export.. akhirnye biz stabil sekarang..

susah sebenarnye orang perempuan melayu nak naik.. tapi kalau sekali success insyallah maintain :)
Anonymous said…
sebenarnya banyak lagi kisah usahawan wanita yang sedang bergiat dalam bidang usahawantani nie..mungkin cuma orang tak berapa perasan saja..btw..fatisha pun dah saya mula exposekan perkara2 seperti ini sebagai motivasi..
Anonymous said…
Pada pendapat saya, wanita lebih tekun dalam kerja-kerja rutin, iaini berulang-ulang dan sama dari seminggu ke seminggu. Seperti dalam penanaman cendawan, kebanyakkannya kerja yang sama setiap hari, iaitu buat bongkah, kukus, semai, siram air, petik hasil dan jual kat kedai. Semangat meneruskan kerja-kerja rutin inilah yang akan menjadikan usaha kita itu berjaya atau tidak. Sebab itu kadang-kadang orang lelaki susah nak berjaya, baru 1 tahun dah boring dengan kerja yang rutin itu. Pelaburan belum dapat balik, dah fikir nak buat bisness lain plak. Nak kaya cepat lah. Yang dah ada ditinggalkan dan yang baru dikejar.

Popular posts from this blog

Cendawan - Bisnes Modal Rendah

Projek Cendawan adalah salah satu projek pertanian yang boleh dimulakan dengan modal yang rendah. Bukan hanya sebagai hobi, ia adalah salah satu cabang bisnes yang boleh dimulakan dengan membayar YURAN KEBODOHAN yang rendah. Seperti kata seorang guru perniagaan yang terkenal, Puan Ainon Mohd, mulakan bisnes dengan modal atau yuran kebodohan yang kurang dari RM2000.00 sahaja.... Mengapa? Nanti kami terangkan sebabnya. Tidak seperti projek pertanian yang lain memerlukan tanah yang luas, projek ini boleh dimulakan dari rumah anda. Tidak kira jenis rumah yang anda duduki. Kami pernah menghantar beg atau bongkah cendawan di sebuah rumah Flat di Pandah Indah!!!  Seperti saya sendiri iaitu Founder Fatisha Agro Farm (M) Sdn Bhd, projek pertama bermula di sebuah rumah teres di Bandar Baru Bangi kira-kira 11 tahun yang lalu. Dengan hanya modal kurang dari RM500.00, projek ini berkembang sehingga sekarang bernilai lebih RM500,000 di tapak baru di bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Ter

Cara Mengira Kos Penghasilan Beg Cendawan Tiram

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Agak lama saya tidak menulis artikel mengenai kos menghasilkan beg @ bongkah cendawan. Walaupun sudah ada artikel mengenainya sebelum ni, sekali lagi saya ingin menulis tentang kos penghasilan beg cendawan dalam 2 kaedah yang berbeza. Kaedah 1. Kaedah yang pertama adalah melibatkan kos-kos asas. Kos - kos asas ini adalah keperluan utama untuk membuat bongkah cendawan iaitu kos bahan mentah. Kos bagi setiap tempat adalah berbeza mengikut harga lokasi. Ini kerana sesetengah projek cendawan berada jauh dari lokasi pembekal bahan mentah utama. Tempat yang dekat dengan pembekal biasanya boleh menghasilkan kos beg cendawan yang lebih rendah antara 10 - 20%. Oleh yang demikian juga yang membawa kepada faktor harga jualan yang berbeza- beza. Nanti akan saya terangkan dalam artikel yang lain mengenai situasi ini. Bahan mentah yang terlibat adalah seperti berikut (Kos yang ditunjukkan adalah untuk 1 unit bongkah cendawan)

KHASIAT CENDAWAN KUKUR ATAU KULAT SISIR

PENGENALAN Cendawan Kukur atau juga dikenali sebagai kulat sisir adalah sejenis cendawan yang amat terkenal dikalangan orang kampung. Nama siantifik bagi cendawan ini adalah  Schizophllyum commune.  Cendawan sisir mudah ditemui hidup pada batang kayu pokok getah yang mati. Ia juga sering tumbuh pada batang kayu pokok lain yang mati atau reput. Di kalangan orang tua-tua, ia adalah antara cendawan yang amat digemari. Cendawan kukur atau kulat sisir yang tumbuh di pokok-pokok reput biasanya dikutip dan dikeringkan sebelum dijual. Oleh kerana kulat sisir ini mempunyai kandungan air yang sangat rendah berbanding cendawan tiram kelabu yang mempunyai kandungan air sehingga 80%, kulat sisir amat mudah mengering sekiranya diletakkan di bawah sinaran matahari. Kulat sisir amat ringan dan harganya agak mahal mencecah RM80 sekilogram sekiranya di jual di pasar-pasar tempatan. MASAKAN Sebelum dimasak, kulat sisir  direndam di dalam air bagi membolehkannya mengembang dan menjadi