Skip to main content

Kenaikan Harga Minyak

Photobucket


Petang tadi saya menerima sms dari staf FAF yang baru sahaja balik ke kampung bercuti. Katanya tengok berita malam ni. Ada penstrukturan baru harga minyak dan bagus katanya sebab saya tempah kereta savvy (Savvy kan jimat minyak). Selepas tu seorang peserta kursus saya sms, katanya minyak naik 78 sen bermula jam 12 malam ni. Masa tu saya baru je sampai stesyen minyak petronas berhampiran rumah. Niat sebenarnya untuk terus balik ke rumah. Tetapi saya terkejut melihat stesyen minyak sesak macam stesyen minyak shell yang dekat pasar malam bila tiba hari pasar malam, jadi saya singgah terus ke sana. Kebetulan nak ke ATM. Teringat mesej staf saya tadi. Rupanya orang beratur nak isi minyak. Sampai kat tepi jalan pun berderet-deret kereta. Kebetulan saya masa tu bawak motor sahaja. Dan dalam bakul motor ada bekas isi air 5 liter yang saya bawak balik ke rumah untuk buat EM malam ni. Urgent esok dah nak hantar ke Terengganu. Ramai je yang jeling-jeling saya. Ingat saya nak isi minyak la tu. hehehe...

Sekarang harga minyak dah melambung-lambung. Sejak barang-barang naik harga beberapa bulan lepas, harga bahan mentah sudah pun naik. Harga cendawan masih saya tidak naikkan. Saya hanya naikkan harga bahan mentah seperti dedak dan plastik. Tapi harga cendawan segar masih sama. RM8/kg. Itupun kalau beli sikit. Kalau beli banyak saya jual dengan harga yang rendah daripada tu. Itu harga yang cukup rendah untuk pengusaha kecil seperti FAF. Kecuali beg media, dulu pernah jual dengan harga RM1. Sekarang memang dah tak dapat lagi. Dulu kos satu beg tak lepas 50 sen sekarang memang dah jauh benar larinya. Untuk esok dan seterusnya saya tak tahu lah macam mana lagi harga bahan-bahan mentah. Adat orang berniaga, memang semua nak untung. Kenaikan kos terpaksa ditanggung. Jadi harga juga perlu dinaikkan. Kebetulan lori yang datang dari Terengganu untuk mengangkut 5000 beg media yang saya sewa datang malam ni. Sudah deal awal-awal jadi tiada perubahan dari segi kos. Kalau lewat sehari je memang harga dah jadi lain. Itupun sudah mencecah hampir RM1000 untuk sewa sahaja. Jadi bayangkan dengan kenaikan harga petrol yang agak tinggi berapa kenaikannya?

Nampaknya lepas ni motosikal saya tu, saya hendak pasang box untuk angkut cendawan. Sebab saya hantar perlu cendawan 15 - 20 kg pada customer. Kadang-kadang saya hantar pakai kereta. Tapi naik kereta kena bayar tol lagi. Minyak lagi yang dah semakin naik. Naik kereta akan naikkan kos lagi. Tanpa box pun saya pernah angkut cendawan dengan motor saya tu sebanyak 12 kg ke Puchong. Boleh bayangkan bagaimana saya bawanya? Dari tak berani jadi berani kerana itulah kerja saya. Pernah juga bawa cendawan 13 kg dari Puchong ke Bangi dengan motor. Kesnya sebab saya cari kunci kereta tak jumpa. Alhamdulillah setakat ni ok la. Tapi kalau orang tengok mesti geleng kepala... hehehe...

Apa-apa pun, kenaikan harga minyak pasti membebankan rakyat terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan. Tetapi mekanisma baru yang dibuat bagi mengurangkan beban golongan yang lebih memerlukan subsidi minyak diharapkan berjaya dan tidak disalahguna. Penstrukturan baru ini ada kewajarannya kerana golongan atasan yang sudah kaya sudah terlalu lama menerima subsidi yang tidak sepatutnya mereka terima. Bagilah peluang kepada rakyat yang lebih memerlukannya (ini kata-kata saya sebelum lihat berita tadi).


Namun setelah saya melihat berita TV3 tadi, barulah saya jelas sedikit tentang mekanisma yang dikatakan membantu golongan yang memerlukan. Apakah cukup RM625 setahun untuk menampung kos kenaikan minyak hampir 40%? Ia melibatkan kenderaan berkapasiti 2000 cc ke bawah. Saya merasakan ia sebagai tidak berbaloi. Kenapa perlu sehingga 2000 cc? Saya hanya dapat melihat orang yang bawak kenderaan 1800 - 2000 cc adalah tokei kedai, pensyarah-pensyarah saya dulu di UKM yang bergaji hampir dan lebih RM10,000 sebulan serta pegawai-pegawai atasan yang bergaji lebih RM4,000 sebulan. Saya tidak rasa mereka memerlukan subsidi tersebut. Bagaimana dengan nasib pegawai rendah, kerani, petani dan juga pengguna kenderaan lain yang gajinya kurang dari RM3,000? Yang biasanya membawa kereta berkapasiti 1600 cc ke bawah? Sepatutnya nilai diberi adalah tidak kurang dari RM1,000 barulah dapat kurangkan 'sedikit' beban golongan tersebut. Kalau diberi subsidi pun, ia perlu dipecahkan kepada 1600 cc ke bawah dan 1600 - 2000 cc. Tetapi itu hanya cadangan pendapat peribadi saya sahaja. (Mungkin pengecualian boleh dibuat untuk penduduk Malaysia Timur kerana di sana pada pengetahuan saya melalui kawan-kawan yang berasal daripada sana, pengguna di sana banyak menggunakan kenderaan berkapasiti tinggi dan pacuan 4 roda kerana keadaan jalan yang tidak berapa sempurna).

Walau bagaimanapun, kerajaan sudah memberi jaminan untuk mengkaji harga minyak setiap bulan. Jadi diharapkan ia dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Subsidi yang dapat dijimatkan juga digunakan untuk keperluan makanan kerana kalau kita tak dapat makan, nak bawak kereta pun tak boleh kan? Setiap tindakan yang dibuat ada kewajarannya. Bagaimana ia dilaksanakan itu yang ingin kita lihat. Apabila kerajaan semakin menekankan lebih kepada sumber pertanian bagi menampung keperluan makanan, ia berita gembira buat golongan yang terlibat dalam bidang ini. Pemantauan yang lebih lagi perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan subsidi yang telah dijimatkan. Semoga kita semua mendapat manfaat dan setiap keputusan tu memang pasti ada pro dan kontranya.

Antara yang perlu kita fikirkan bagi mengurangkan kesan kenaikan ini adalah mengawal pengunaan kenderaan. Guna apabila perlu dan tak perlulah beli kereta besar-besar. Cukup sekadar kereta kecil yang boleh bawa kita ke mana-mana dengan selesa dan sesuai dengan keperluan serta pendapatan kita. Kereta makin besar, minyaknya makin banyak. Kecuali bila dah mampu tu boleh la beli kereta besar. Masa tu memang tak kisah kot kalau minyak jadi RM3 tau RM4 seliter. Kalau perlu guna kenderaan awam, gunalah kenderaan awam. Sekali-sekala naik bas, komuter apa salahnya kan? Tapi masalah jugak kalau bas susah nak masuk kawasan kita kan?

Bagaimana reaksi rakyat Malaysia secara keseluruhannya terhadap harga minyak baru ini?Pendapat saya ia memang membebankan. Tetapi apakan daya kita?



Photobucket

Photobucket

Comments

Anonymous said…
Adakah anda bersedia dengan keadaan ekonomi yang serba naik ini?

Apakah langkah-langkah yang akan anda ambil untuk mengatasi kemelut ini?

Popular posts from this blog

Cendawan - Bisnes Modal Rendah

Projek Cendawan adalah salah satu projek pertanian yang boleh dimulakan dengan modal yang rendah. Bukan hanya sebagai hobi, ia adalah salah satu cabang bisnes yang boleh dimulakan dengan membayar YURAN KEBODOHAN yang rendah. Seperti kata seorang guru perniagaan yang terkenal, Puan Ainon Mohd, mulakan bisnes dengan modal atau yuran kebodohan yang kurang dari RM2000.00 sahaja.... Mengapa? Nanti kami terangkan sebabnya. Tidak seperti projek pertanian yang lain memerlukan tanah yang luas, projek ini boleh dimulakan dari rumah anda. Tidak kira jenis rumah yang anda duduki. Kami pernah menghantar beg atau bongkah cendawan di sebuah rumah Flat di Pandah Indah!!!  Seperti saya sendiri iaitu Founder Fatisha Agro Farm (M) Sdn Bhd, projek pertama bermula di sebuah rumah teres di Bandar Baru Bangi kira-kira 11 tahun yang lalu. Dengan hanya modal kurang dari RM500.00, projek ini berkembang sehingga sekarang bernilai lebih RM500,000 di tapak baru di bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Ter

Cara Mengira Kos Penghasilan Beg Cendawan Tiram

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Agak lama saya tidak menulis artikel mengenai kos menghasilkan beg @ bongkah cendawan. Walaupun sudah ada artikel mengenainya sebelum ni, sekali lagi saya ingin menulis tentang kos penghasilan beg cendawan dalam 2 kaedah yang berbeza. Kaedah 1. Kaedah yang pertama adalah melibatkan kos-kos asas. Kos - kos asas ini adalah keperluan utama untuk membuat bongkah cendawan iaitu kos bahan mentah. Kos bagi setiap tempat adalah berbeza mengikut harga lokasi. Ini kerana sesetengah projek cendawan berada jauh dari lokasi pembekal bahan mentah utama. Tempat yang dekat dengan pembekal biasanya boleh menghasilkan kos beg cendawan yang lebih rendah antara 10 - 20%. Oleh yang demikian juga yang membawa kepada faktor harga jualan yang berbeza- beza. Nanti akan saya terangkan dalam artikel yang lain mengenai situasi ini. Bahan mentah yang terlibat adalah seperti berikut (Kos yang ditunjukkan adalah untuk 1 unit bongkah cendawan)

KHASIAT CENDAWAN KUKUR ATAU KULAT SISIR

PENGENALAN Cendawan Kukur atau juga dikenali sebagai kulat sisir adalah sejenis cendawan yang amat terkenal dikalangan orang kampung. Nama siantifik bagi cendawan ini adalah  Schizophllyum commune.  Cendawan sisir mudah ditemui hidup pada batang kayu pokok getah yang mati. Ia juga sering tumbuh pada batang kayu pokok lain yang mati atau reput. Di kalangan orang tua-tua, ia adalah antara cendawan yang amat digemari. Cendawan kukur atau kulat sisir yang tumbuh di pokok-pokok reput biasanya dikutip dan dikeringkan sebelum dijual. Oleh kerana kulat sisir ini mempunyai kandungan air yang sangat rendah berbanding cendawan tiram kelabu yang mempunyai kandungan air sehingga 80%, kulat sisir amat mudah mengering sekiranya diletakkan di bawah sinaran matahari. Kulat sisir amat ringan dan harganya agak mahal mencecah RM80 sekilogram sekiranya di jual di pasar-pasar tempatan. MASAKAN Sebelum dimasak, kulat sisir  direndam di dalam air bagi membolehkannya mengembang dan menjadi