Skip to main content

Mengharungi Cabaran Usahawantani Cendawan - Tips dan Panduan

Sudah lama tidak menulis sesuatu yang berkaitan secara langsung dengan kehidupan seorang penanam cendawan. Lagi-lagilah apabila kita membuat keputusan untuk bergiat secara sepenuh masa di dalam bidang ini. Ini adalah dunia PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN. Banyak perkara yang kita perlu fikirkan.

Sebelum saya menceburkan diri di dalam bidang ini, saya tidak pernah terfikir akan melalui jalan yang sukar seperti ini. Lagi-lagi saya adalah graduan bidang kimia jauh perkaitannya dengan bidang pertanian. Langsung tiada pengalaman selain menolong ayah di kebun sewaktu kecil-kecil dulu. Walau pernah juga membaca cerita-cerita orang lain. Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan projek ini. Tetapi pelbagai ranjau yang perlu ditempuhi sebenarnya. Apatah lagi saya adalah SEORANG WANITA BUJANG (bukan niat mempromosikan diri k. hehehe) menguruskan projek ini bersendirian untuk 10 bulan yang pertama (bernasib baik mempunyai ramai sahabat-sahabat yang baik dan banyak membantu), menjalankannya di TANAH SEWA (ada tanah kat kampung tapi memilih untuk berdikari di sini), jauh dan tiada SAUDARA-MARA TERDEKAT (keluarga di Terengganu), saya kumpul segala pengalaman saya untuk pembaca blog saya (pernah juga terfikir ini kerja paling berisiko pernah saya ambil... kenapa saya boleh berkata begitu? Bagi yang mengikuti kisah saya sejak dulu tahu tentang tu. Tetapi bagi yang tak, Fikirlah sendiri :) ). Juga kepada sesiapa sahaja yang baru bertapak. Jadi sebagai seorang yang pernah jatuh... pernah melalui jalan yang sukar... pernah juga hampir-hampir putus asa, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak, persediaan untuk bergelar seorang usahawan cendawan. Bagi yang tidak mempunyai pengalaman, tiada modal yang banyak,yang berani mengambil risiko, yang tiada sokongan yang kuat, artikel ini boleh dijadikan panduan.


Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk memilih cendawan sebagai pilihan kerjaya anda yang utama atau sampingan apa yang perlu anda fikir adalah seperti berikut:

a. Modal - Pastikan anda mempunyai modal yang bukan hanya cukup-cukup, tetapi lebih dari itu. Paling kurang 50% lebih dari modal awal. Contoh, sekiranya modal permulaan perniagaan anda ialah RM30,000, pastikan anda mempunyai lebihan tunai sebanyak RM15,000 sebagai sokongan sekiranya sesuatu berlaku pada perniagaan anda. Elakkan bergantung kepada pinjaman bank untuk permulaan projek kecualilah anda berniat untuk menjalankan projek ini sebagai pendapatan tambahan selain dari kerjaya sediaada.

b. Tempat - Pilih tempat yang sesuai. Jangan pilih tempat main tangkap muat sahaja. Bukan kerana sewanya rendah, atau tanah sendiri, atau tiada pilihan. Pemilihan tempat adalah faktor yang paling penting kerana cendawan teramat sensitif kepada keadaan persekitaran. Pilih kawasan yang bersih, tiada pencemaran, jauh dari tempat pembakaran, banyak pokok-pokok, redup dan yang paling penting ia tidak kotor.

c. Pembekal Bahan Mentah- Cari pembekal yang boleh dipercayai. Lebih-lebih lagi soal benih. Hanya kerana harga yang murah, sekali ia rosak, ia akan menyebabkan kerugian yang teramat tinggi. Berpuluh kali ganda dari harga benih. Rajin bertanya kepada pengusaha cendawan yang lain. Mana benih yang baik dan mana yang tidak baik. Beli pada kuantiti yang sedikit sekiranya benih dibeli dari pembuat benih baru. Sebaiknya minta sampel percuma dan cuba. Selepas itu baru beli pada kuantiti yang banyak. Perlu SANGAT BERHATI-HATI dalam soal BENIH ni... dah ramai yang terkena. Pembekal biasanya tidak mahu bertanggungjawab.

d. Pekerja - cari pekerja yang benar-benar ingin bekerja. Dan jangan sekali-kali terasa mampu menjalankannya bersendirian. Apatah lagi kalau kita jauh dari keluarga dan tiada saudara mara. Ia memang amat-amat memenatkan. Kecuali lah kita sudah berkeluarga, dekat dengan saudara-mara. Pastikan pekerja juga orang yang tahan lasak. Pekerja lelaki adalah lebih baik dari pekerja perempuan kerana mereka lebih mampu melakukan kerja berat (tetapi pengalaman saya pekerja lelaki saya tu pemalas, yang rajinnya perempuan. Tapi pekerja perempuan banyak kali bertukar-tukar pekerja sebab tak tahan kerja berat). Atau bahagikan tugas yang berat seperti bagging untuk lelaki dan tuaian hasil/pembungkusan untuk wanita. Wanita pun nak kerja jugak. Tiada diskriminasi. Kalau FAF boleh buat, pasti orang lain boleh juga kan? Tapi kalau guna mesin perkara ni tak jadi masalah besar.

e. Kerosakan/kerugian/serangan penyakit - Anggaplah satu musim yang pertama sebagai ujian. Dan sematkan dalam hati kalau gagal sekalipun takpe, boleh cuba lagi. Cendawan adalah tumbuhan yang teramat sensitif. Kerosakan adalah perkara biasa untuk sesetengah tempat. Sebab itu faktor (b) adalah sangat penting. Dan faktor (a) perlu sebagai sokongan. Pernah dengar tak ayat ni, "Kerugian yang dialami oleh sesuatu perniagaan pada tahun pertama pengoperasiannya masih tidak di kira rugi"? Ia adalah perkara biasa. Tetapi janganlah tidak perlu rasa apa-apa kalau perniagaan ita rugi. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

f. Buat Kajian - Kajian atau research dalam BInya adalah perkara penting dalam penanaman cendawan. Kesesuaian formulasi juga bergantung kepada keadaan persekitaran yang berkaitan langusng dengan tempat atau lokasi projek. Cuba gunakan kaedah terkini. Kaji kesesuaiannya dan gunakan sekiranya ia berkesan. Teknologi terkini adalah penambaikan dalam pertanian. Tetapi kadang-kadang tidak semua tempat sesuai dengan teknologi baru. Buat pilihan yang terbaik mengikut kesesuaian.

g. Langkah Berjaga-Jaga - Jangan tunggu sehingga kita ditimpa masalah baru kita ingin membuat perubahan atau menitik-beratkan perkara yang penting terutamanya tentang prosedur yang paling berkesan dan baik untuk penanaman cendawan. Ikutinya dari awal. Banyakkan membaca dan bertanya.

h. Buat Lawatan Sambil Belajar - Tidak salah kita ke tempat orang untuk melawat. Pergi lah ke beberapa pengusaha cendawan yang menjalankan projek mereka di lokasi yang berlainan latar belakang. Tanya masalah utama mereka. Ramai yang datang selalu bertanya soal keuntungan, berapa pendapatan syarikat, itu soal yang agak sensitif. Boleh bertanya tapi cuba kira sendiri dari hasil pengeluaran cendawan sebulan mereka. Yang paling penting anda tanya bila membuat lawatan adalah masalah-masalah yang pernah mereka alami dan cara mereka mengatasinya. INGAT, cendawan adalah tumbuhan yang sensitif. Keuntungan itu penting, tetapi kalau ia terkena penyakit, untung itu entah ke mana.

h. Pasaran - Ramai yang punya dana yang cukup untuk menjalankan projek ini. Ada tempat. Tiada masalah apa-apa pun untuk bermula. Tetapi sesuatu yang selalu dirisaukan adalah pasaran. Kita jangan menunggu pasaran mencari kita, tetapi kita mencari pasaran. Boleh tanya kedai-kedai runcit, restoran, pasar atau pun kita mulakan dengan Ladang Kontrak atau Contract Farming. Harganya rendah tetapi cukup untuk permulaan. Tidak pun, tanya pengusaha-pengusaha lain. Pasti mereka akan membantu kita kalau tidak banyak sedikit.

i. Hubungan Dengan Agensi Berkaitan- Cuba jalinkan hubungan yang baik dengan agensi-agensi berkaitan. Bukan dengan tujuan hanya untuk kita meminta bantuan kewangan. Tetapi sebagai tempat kita mendapatkan teknologi terkini, khidmat nasihat atau lain-lain yang berkenaan. Kalau tidak hari ini mereka membantu kita, pasti di masa depan ada sesuatu manfaat yang boleh kita perolehi.

j. Hubungan/Jaringan Antara Pengusaha - Mereka adalah saingan kita. Tetapi itu bukannya faktor untuk kita tidak menjalinkan hubungan yang baik bersama mereka. Sebenarnya merekalah yang boleh membantu kita. Saling berkongsi pengalaman, bersama-sama mencari pembekal yang berkualiti, murah serta sumber kita mendapatkan pembeli atau pemborong hasil tanaman kita. Tetapi bukan setiap masa kita hendak bergantung kepada mereka. Usaha sendiri adalah lebih penting. Namun jaringan ini banyak manfaatnya.

Setakat itu dahulu sedikit sebanyak yang mampu saya kongsi bersama pembaca. 10 tips dan panduan untuk memulakan projek dan selepas projek berjalan. Niat saya, suatu hari nanti adalah untuk menerbitkan buku panduan tentang ini. Ada rezeki saya ingin jalankan kajian yang menyeluruh bagaimana cara atau langkah untuk mengurangkan serangan penyakit kepada cendawan. Kerana saya sudah mengalami bagaimana teruknya sekiranya serangan penyakit berlaku kepada tanaman kita. Ini adalah perkara penting yang selalu menjadi masalah besar kepada pengusaha baru yang tiada pengalaman. Kalau tidak saya pun yang menjalankan kajian tersebut, mungkin ada di antara pelajar-pelajar universiti yang membaca tulisan saya mendapat sedikit idea untuk kajian projek master mereka. Saya akan memberikan kerjasama untuk tujuan itu. Semoga apa yang saya coretkan boleh dijadikan sedikit panduan bagi semua yang berminat untuk mengusahakan projek ini di masa depan.



Satu perkara lagi, LAKSANAKANLAH PROJEK INI KERANA MINAT DAN KESUNGGUHAN BUKAN KERANA IKUT-IKUTAN DAN KEUNTUNGANNYA SAHAJA...



Sekian, terima kasih.

Comments

Anonymous said…
Good artikel. Semoga Fatisha Agrofarm bertambah maju ..
Fatisha said…
thanks a lot... insyaAllah...
Anonymous said…
kat sg ramal ye? insyaAllah boleh gi visit nanti. boleh beli cendawan utk goreng :)
selamat maju jaya!

Popular posts from this blog

Cendawan - Bisnes Modal Rendah

Projek Cendawan adalah salah satu projek pertanian yang boleh dimulakan dengan modal yang rendah. Bukan hanya sebagai hobi, ia adalah salah satu cabang bisnes yang boleh dimulakan dengan membayar YURAN KEBODOHAN yang rendah. Seperti kata seorang guru perniagaan yang terkenal, Puan Ainon Mohd, mulakan bisnes dengan modal atau yuran kebodohan yang kurang dari RM2000.00 sahaja.... Mengapa? Nanti kami terangkan sebabnya. Tidak seperti projek pertanian yang lain memerlukan tanah yang luas, projek ini boleh dimulakan dari rumah anda. Tidak kira jenis rumah yang anda duduki. Kami pernah menghantar beg atau bongkah cendawan di sebuah rumah Flat di Pandah Indah!!!  Seperti saya sendiri iaitu Founder Fatisha Agro Farm (M) Sdn Bhd, projek pertama bermula di sebuah rumah teres di Bandar Baru Bangi kira-kira 11 tahun yang lalu. Dengan hanya modal kurang dari RM500.00, projek ini berkembang sehingga sekarang bernilai lebih RM500,000 di tapak baru di bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Ter

Cara Mengira Kos Penghasilan Beg Cendawan Tiram

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Agak lama saya tidak menulis artikel mengenai kos menghasilkan beg @ bongkah cendawan. Walaupun sudah ada artikel mengenainya sebelum ni, sekali lagi saya ingin menulis tentang kos penghasilan beg cendawan dalam 2 kaedah yang berbeza. Kaedah 1. Kaedah yang pertama adalah melibatkan kos-kos asas. Kos - kos asas ini adalah keperluan utama untuk membuat bongkah cendawan iaitu kos bahan mentah. Kos bagi setiap tempat adalah berbeza mengikut harga lokasi. Ini kerana sesetengah projek cendawan berada jauh dari lokasi pembekal bahan mentah utama. Tempat yang dekat dengan pembekal biasanya boleh menghasilkan kos beg cendawan yang lebih rendah antara 10 - 20%. Oleh yang demikian juga yang membawa kepada faktor harga jualan yang berbeza- beza. Nanti akan saya terangkan dalam artikel yang lain mengenai situasi ini. Bahan mentah yang terlibat adalah seperti berikut (Kos yang ditunjukkan adalah untuk 1 unit bongkah cendawan)

KHASIAT CENDAWAN KUKUR ATAU KULAT SISIR

PENGENALAN Cendawan Kukur atau juga dikenali sebagai kulat sisir adalah sejenis cendawan yang amat terkenal dikalangan orang kampung. Nama siantifik bagi cendawan ini adalah  Schizophllyum commune.  Cendawan sisir mudah ditemui hidup pada batang kayu pokok getah yang mati. Ia juga sering tumbuh pada batang kayu pokok lain yang mati atau reput. Di kalangan orang tua-tua, ia adalah antara cendawan yang amat digemari. Cendawan kukur atau kulat sisir yang tumbuh di pokok-pokok reput biasanya dikutip dan dikeringkan sebelum dijual. Oleh kerana kulat sisir ini mempunyai kandungan air yang sangat rendah berbanding cendawan tiram kelabu yang mempunyai kandungan air sehingga 80%, kulat sisir amat mudah mengering sekiranya diletakkan di bawah sinaran matahari. Kulat sisir amat ringan dan harganya agak mahal mencecah RM80 sekilogram sekiranya di jual di pasar-pasar tempatan. MASAKAN Sebelum dimasak, kulat sisir  direndam di dalam air bagi membolehkannya mengembang dan menjadi