Powered By

Sila "bookmark" blog ini menggunakan Social Bookmark kegemaran anda:

Powered by Blogger

Thursday, April 26, 2007

Satu Permulaan

Mungkin hari ini adalah hari permulaan kepada segalanya. Permulaan kehidupan seorang siswazah tani yang baru hendak bangkit demi sebuah kehidupan. Hari ini sepatutnya hari pertama bangsal cendawan saya dibina. Tapi hujan yang berterusan sejak pagi menghalang hasrat itu.

Ceritanya...
Saya mengharung rintik-rintik hujan dengan bermotosikal ke tapak projek. Singgah di kedai makan untuk sarapan dan juga membeli makanan untuk pekerja. Sampai di tapak, pakcik dan makcik duduk di beranda rumah merenung hujan yang masih rintik-rintik. Saya pula hampir kebasahan. Mereka ajak saya ke dapur untuk minum. Paku 2 1/2 inci dan 3 inci serta benang kontrak yang saya beli semalam bersama dengan 3 bungkus mee goreng dan 3 jenis kuih saya bawa bersama ke dapur mengikut makcik.

Sambil minum kami bercerita. Saya tanya, Wak datang ke hari ini? Makcik kata, kalau sudah hujan, pasti Wak tidak dapat datang. Saya hubungi Wak untuk pengesahan. Iyelah, makanan sudah dibeli. Membazir kalau tidak dimakan. Wak bilang, kalau sudah hujan hatinya tidak sedap hendak bekerja. Saya akur. Mungkin sudah itu suratan. Makcik kata lagi, banyak sungguh halangan yang datang. Mungkin yang di atas belum mengizinkan lagi. Makcik cakap Wak ni baik orangnya, kalau sudah hujan pasti dia sendiri tak mahu menyusahkan kita. Bayaran tetap sehari, saya sendiri yang rugi nanti. Pakcik pun cakap, Wak ni dah macam saudara. Mintak tolong apa-apa pasti datang. Makcik dan saya senyum bila pakcik kata, nak buat bangsal kena panas, tapi nak buat cendawan kena selalu hujan. Dua perkara yang terlalu kontra. Satu masalah datang, satu masalah juga pergi. Masalah zink gelum sudah selesai, sekarang masalah hujan pula. Zink gelum tu sendiri sudah membuat saya pening kepala. Sampai ke Johor, Terengganu saya menanyakan orang. Alhamdulillah yang jauh itu juga yang dapat menolong.

Semalam panas bukan main, tapi tanah pula baru ditolak dan barang-barang belum dihantar. Jadi masih belum boleh bekerja juga. Tak mengapalah, esok harap-harap hujan tidak turun. Belum sampai 10 minit saya duduk di meja makan, tiba-tiba ada lori sampai. Lori Ah Keong agaknya. Hantar barang-barang yang dipesan berhari-hari yang lepas. Sudahlah asyik menukar pesanan saja. Dari tiang 10 kaki, jadi 12 kaki. Tukar kayu itu dan ini untuk atap. Semua ni juga gara-gara zink gelum. Tapi ada rahmatnya juga. Rak saya sudah 8 kaki, kalau guna tiang 10 kaki, bila sudah tanam tiang nanti pasti tinggalnya 8 kaki lebih. Hampir sama tinggi dengan rak. Mungkin panas nanti. Jadi bila zink gelum tak jumpa-jumpa, saya buat keputusan untuk menukar tiang dari 10 ke 12 kaki. Langkah berjaga-jaga seandainya zing gelum terpaksa digantikan dengan atap lain. Rahmatnya, walau zink gelum sudah dapat baru tersedar, kalau ditanam tiang tu sudah jadi pendek. Jadi guna tiang 12 kaki itu yang terbaik. Tinggi sedikit tak apa. Lagi banyak angin yang masuk. Itulah, sesungguhnya tiap yang terjadi itu ada rahmatNYA.

Sebelum saya meninggalkan rumah makcik dan pakcik, hanya tiang-tiang yang dihantar. Mungkin petang atau pagi esok yang selebihnya. Selepas ke tapak projek saya pergi mencari van di sekitar Kajang. Semuanya mahal-mahal, lebih dari bajet. Ini juga satu lagi masalah saya yang belum selesai. VAN VANNETE C22. Sudah sebulan lebih saya mencarinya. Alih-alih tadi saya singgah di car auction dekat G-Mart Batu 12 jalan Cheras.Ada satu vannete tahun 93 tapi saya masih belum berani membeli kereta sendiri. Saya tunggu sehingga bidaan di buat. Saja cari pengalaman mendengar orang membuat bidaan. Lajunya... tak sempat saya menangkap jumlah bidaan bagi setiap kereta.

Akhirnya cerita...
Saya akhiri kisah mak tani saya hari ini dengan kata-kata ini. Ini hanya sekadar suatu permulaan. Kata orang kena banyak bersabar. Permulaan itu sebuah penentuan juga. Andai niat kita baik, pasti DIA akan menolong.

3 comments:

Anonymous said...

hehe. InsyaAllah, sy balik kg ni, 2dpt online 2.

Kak Jie said...

semoga dipermudahkan segala urusan..tiap kebaikan pasti ada balasannya

ime said...

puan, ble nk update blog? cmne bsnes?