Pada 11 - 13 Mei yang lalu, saya dan staf saya Fyda telah menjalani kursus Peringkat I penghasilan benih cendawan di lab kami sendiri di Kg Ibok. Kursus ini dibimbing oleh En Hassan Wagiran pegawai dari MARDI Serdang. Selain kami ia juga disertai oleh 3 orang lagi iaitu Hj Wahab dari MARDI Serdang juga, En Abdillah dan En Samsuddin dari MARDI Sg Baging. Namun pegawai-pegawai MARDI yang lain hanya datang pada hari pertama sahaja. Mungkin hanya ingin melihat sendiri penguasa cendawan pertama dari Pantai Timur yang memiliki dan menghasilkan benih cendawan sendiri.
Alhamdulillah kursus berjalan lancar selama 3 hari tersebut. Kalau dikira, persiapan saya untuk kursus ini mengambil masa kira-kira 5 bulan juga. Bermula dengan saya mengumpulkan barang-barang makmal, membaiki bangunan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian untuk mengubahnya menjadi sebuah makmal dan sehinggalah pada hari kehadiran En Hassan ke tempat kami. Sehari sebelum En Hassan datang, kami masih mencari barang-barang keperluan untuk menghasilkan benih cendawan tersebut. Bila sudah menjalani kursus, rupanya masih banyak juga barang-barang yang masih kami perlu beli untuk melengkapkan makmal kami yang serba ringkas.
Kaedah tisu kultur ini tidak lah serumit yang saya sangka. Namun, walau ia mudah dilakukan untuk mendapatkan kaedah yang terbaik, hasil yang terbaik dan benih yang bermutu memerlukan komitmen yang tinggi dan penyelidikan yang berterusan. Semoga penghasilan benih kami berjaya mendapat hasil yang baik. InsyaAllah selepas kami mecuba dahulu benih yang dihasilkan, kami akan memasarkannya untuk kegunaan pengusaha di pantai timur. Jadi tak perlulah pergi jauh lagi untuk mendapatkan benih.
Kursus Peringkat II kami akan disambung semula pada 25hb - 27 Mei ini. Semoga semuanya berjalan lancar. Akhir kata kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Hassan Wagiran kerana sabar memberikan kami bimbingan sepanjang kursus berjalan. Tidak lupa kepada En Ahmad Saif yang membenarkan pihak kami mengunakan bangunan di Ibok tersebut sebagai Makmal Tisu Kultur kami.
Comments